5 tahun pemergian ibunda tersayang

Hari ini, 21 Januari 2021, genap lima tahun ibunda saya, Esah binti Kemin (1934-2016) pulang ke rahmatullah.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat kanser hati di rumah adik saya di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, sebelum hari meninggi.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kerling, sebelum asar, setelah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Bukit Sentosa.

Kehilangannya sampai sekarang masih kami semua rasai.

Sewaktu barah hati dikesan, ia sudah berada pada tahap empat. Dari segi rawatan perubatan, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan apabila mengambil kira usia allahyarham yang sudah dikira agak lanjut.

Doktor yang merawatnya memberitahu, rawatan kimoterafi tidak akan menyembuhkan hati yang sudah membarah itu. Pembedahan untuk membuang hati yang telah terkena barah juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaan kesihatan ibu yang agak kritikal.

Beliau adalah pengidap kencing manis, darah tinggi dan ada masalah jantung.

Kami akur dan berserah kepada ketentuan Ilahi dengan doa semoga perjalanan terakhirnya dipermudahkan.

Setelah dua minggu berada di sebuah hospital swasta di Kampung Baru, Kuala Lumpur, doktor pakar yang merawat ibu saya menasihatkan kami anak-anaknya supaya membawa ibu pulang.

Ibu saya ingin balik berehat di rumahnya di Kampung Pasir, Kerling.

Tapi kami adik-adik bersetuju supaya allahyarham dijaga oleh adik perempuan saya, Tanty Haryanie, di Bukit Sentosa.

Tetapi untuk melepaskan kerinduan terhadap rumahnya, Tanty membawa ibu saya balik ke Kerling untuk sehari.

Sebagai anak kedua, saya amat mengkagumi ibu saya. Pada usia yang agak muda iaitu 43 tahun, pada April 1976, beliau kehilangan tempat bergantung. Ayahanda saya, yang kami adik beradik panggil abah, Wariya bin Mokhtar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu beliau dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal. Ketika itu, usianya adalah lewat 40-an.

Allahyarham ayahanda saya, Wariya Mokhtar.

Waktu itu tujuh orang lagi anak-anaknya (adik-adik saya) masih bersekolah. Hanya saya, kakak saya, Jariah dan adik saya Bosro yang telah bekerja.

Ibu saya tidak bekerja. Jadi kami yang telah bekerja menghulurkan bantuan yang terdaya untuk membantu ibu saya menyara persekolahan adik-adik.

Selain itu, satu-satu sumber pendapatan tambahan yang ada adalah hasil kebun getah seluas tiga ekar milik ibu saya yang terletak di Kampung Jawa, Kerling.

Alhamdulilah, adik-adik saya berjaya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan lima dan masing-masing mendapat pekerjaan yang agak baik sesuai dengan kelulusan masing-masing untuk membina keluarga sendiri kemudiannya.

Secara peribadi saya bersyukur kerana telah dapat berbakti kepada ibu saya semasa hayatnya.

Tentunya setiap hari saya memanjangkan doa kepada Allah SWT supaya mengampunkan segala dosa kedua-dua ibubapa saya dan adik beradik saya yang telah meninggal dunia dan menempatkan roh mereka dalam kalangan yang beriman. Amin ya rabal alamin.

Foto adik beradik-adik saya ini dirakam beberapa minggu selepas ibu saya meninggal dunia di Kampung Pasir, Kerling. Dari kiri: Badrul Hisham, Baharin, Baharum, Baharuddin, Tanty Haryanie, saya, allahyarham Bosro dan Bahman. Enpat orang lagi anggota keluarga Wariya-Esah telah meninggal dunia lebih awal. Mereka ialah kakak saya, Jariah dan adik saya Juaidah serta dua orang adik saya yang meninggal sewaktu bayi, Mohamad dan Mohamad Khir.
Adik saya Baharum (kiri) dan Bahaman (kanan) menzirahi pusara ibunda tersayang, sehari selepas allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kerling.
Anak-anak Tanty Haryanie menjirus air di pusara nenek mereka.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started