UtusanTV.com: Baru tiga bulan tapi sudah mula menyengat

Saya bergambar kenangan dengan kulit majalah terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang kini menjadi milik UtusanTV.com – Wanita, Mastika, Saji dan URTV. Nama majalah-majalah tersebut merupakan sebahagian pengisian UtusanTV.com yang dibangunkan oleh sekumpulan mantan wartawan UMMB yang telah menamatkan operasinya pada tahun 2019 kerana masalah kewangan kronik.

UtusanTV.com, sebuah portal berita yang dibangunkan oleh sekumpulan mantan wartawan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang kehilangan kerja apabila syarikat itu ditutup pada 9 Oktober 2019, genap berusia tiga bulan hari ini – 31 Mac 2021.

Walaupun baharu setahun jagung usianya, tetapi portal ini nampaknya sudah mula menangkap imaginasi warga alam maya. Dengan kata lain, ia sudah mula menyengat.

Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah dalam satu pertemuan semalam memberitahu antara 1 Januari 2021 hingga 22 Mac lalu, UtusanTV.com mencatatkan page view (PV) atau halaman dilihat sebanyak 2.6 juta atau 800,000 PV sebulan.

Bagi bulan Mac 2021 beliau menjangka PV UtusanTV dijangka meningkat ke angka satu juta dan berharap angka itu kekal untuk bulan-bulan seterusnya selepas itu.

“Sasaran kami adalah untuk memperoleh satu juta PV sebulan. Dan kami menghampiri sasaran tersebut,” ujar beliau.

Beliau juga berpuas hati kerana UtusanTV sudah mula menerima bayaran pengiklanan.

“Walaupun tidak banyak, tapi dari segi perniagaan, ia adalah permulaan yang memberangsangkan,” kata Datuk Zulkefli yang jawatan terakhir beliau di UMMB adalah sebagai pengarang Utusan Malaysia.

Bagaimanapun apabila Utusan Malaysia dihidupkan semula oleh pemilik barunya, Media Mulia Sendirian Berhad, Datuk Zulkefli tidak dilibatkan dalam akhbar yang beliau pernah terajui itu.

Dengan sokongan sekumpulan rakan-rakan, beliau membeli Utusan Binders Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UMMB yang memegang beberapa permit majalah syarikat penerbitan itu.

Antaranya: Mastika, Wanita, Saji, Hijab dan Al Islam.

UtusanTV mula menemui khalayaknya pada 1 Januari 2021 dengan tagline Berita Semasa dan Bisnes.

Dari segi kandungan, pernytaan nilai UtusanTV adalah untuk tidak mencampuradukan pelaporan berita dan penulisan komentar oleh para kolumnisnya.

Dari segi penulisan pula pendekatan bercorak majalah dan analisis selain akan diberi keutamaan.

UtusanTV juga merancang untuk memperbanyakan item-item berbentuk kapsul berita dan rencana TV pada masa-masalah akan datang, tetapi dengan durasi tidak melebihi tiga minit sesuai dengan namanya UtusanTV.com.

Setelah tiga bulan beroperasi di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, ia kini mempunyai 19 orang kakitangan.

Sebahagian besar daripada mereka bekerja dari rumah oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Makan tengah hari di pusat beli belah Sogo yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Campbell di mana UtusanTV.com beroperasi. Dari kanan: Zulkefli Hamzah, saya dan seorang sahabat lama kami, Francis Chong pemilik Dagang Halal.com.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started